Jabatan Imigresen hari ini mendakwa punca kesesakan luar biasa orang
awam di Terminal
Penerbangan Tambang Rendah (LCCT) di Sepang semalam
adalah disebabkan oleh pengurusan syarikat penerbangan AirAsia.
Ketua Pengarahnya Datuk Aloyah Mamat berkata kesesakan berlaku
disebabkan keengganan AirAsia berpindah ke terminal baru di klia2 pada
Jumaat lepas dan mahu kekal di LCCT sehingga 9 Mei manakala syarikat
penerbangan lain telahpun berpindah.
Katanya, Jabatan Imigresen bersama agensi-agensi lain mengadakan
beberapa perbincangan dengan pihak penerbangan yang terlibat berhubung
jangkaan kesesakan jika agensi-agensi kerajaan terpaksa beroperasi di
kedua-dua lapangan terbang, LCCT dan klia2.
"Pada masa yang sama kerana pegawai Imigresen terpaksa dipecahkan
kepada dua kumpulan dan berdasarkan arahan pembukaan klia2 pada Jumaat
lepas, sebahagian pegawai Imigresen yang bertugas di LCCT serta
peralatan dipindahkan ke klia2," katanya.
Beliau berkata sebelum pembukaan klia2, jumlah kaunter Imigresen yang
beroperasi di LCCT adalah sebanyak empat kaunter dan tiga “autogate”
bagi warga tempatan dan 22 kaunter untuk pelawat asing.
Aloyah berkata disebabkan jabatan itu beroperasi di kedua-dua terminal,
kaunter pemeriksaan Imigresen bagi kaunter pelawat asing di LCCT
dikurangkan kepada 11 kaunter sahaja.
Katanya secara keseluruhannya, 60% pegawai Imigresen masih kekal di
LCCT untuk menguruskan penumpang daripada penerbangan AirAsia dan hanya
40% sahaja dipindahkan ke klia2.
Sehubungan itu, beliau berharap perkhidmatan kaunter Imigresen dapat
beroperasi sepenuhnya dan akan kembali seperti biasa serta dapat
mempertingkatkan kemudahan tanpa menjejaskan pemeriksaan dan kawalan
negara selepas semua penerbangan beroperasi di klia2 pada Jumaat ini.
Beberapa portal berita dan laman sosial semalam melaporkan kesesakan di
kaunter Imigresen di LCCT yang menyebabkan ramai penumpang terpaksa
menunggu untuk tempoh lama. – Bernama
AirAsia sebabkan kesesakan di LCCT, kata Jabatan Imigresen
Written By Warta Utara on Monday, May 5, 2014 | 9:59 AM
Labels:
Berita

Post a Comment