CANBERRA 5 Mei - Australia memaklumkan sekurang-kurangnya dua bulan
diperlukan sebelum
kelengkapan baharu yang lebih canggih dapat memulakan
pencarian pesawat MH370 di dasar laut yang belum pernah dipetakan.
Operasi mencari pesawat Malaysia Airlines (MAS) yang hilang pada 8
Mac lalu itu ketika membawa 239 orang telah dihentikan minggu lalu
selepas gagal memperoleh apa-apa petunjuk meskipun pencarian di selatan
Lautan Hindi telah meliputi 4.64 juta kilometer persegi.
Australia hari ini menjadi tuan rumah kepada mesyuarat bersama
Menteri Pengangkutan Malaysia dan China untuk menentukan langkah selepas
ini yang memberi fokus kepada mempergiat pencarian di dalam air.
China turut terlibat kerana dua pertiga daripada penumpang pesawat
itu adalah warga China, manakala penerbangan pesawat berkenaan
dipercayai berakhir di kawasan operasi mencari dan menyelamat (SAR)
Australia.
Timbalan Perdana Menteri Australia, Warren Truss mengakui pencarian
itu akan mengambil masa lama memandangkan dasar laut di beberapa zon
pencarian mempunyai kedalaman beberapa kilometer, selain tidak pernah
dipetakan, justeru peralatan sonar dan kenderaan khas diperlukan. -
AGENSI
2 bulan diperlukan sebelum peralatan baharu mula cari MH370
Written By Warta Utara on Monday, May 5, 2014 | 9:19 AM
Labels:
Global

Post a Comment