HARI Jumaat, 2 Mei 2014 bersamaan 2 Rejab 1435. Cuti hujung minggu
menjadikan bandar Kota
Bharu, Kelantan cukup tenang. Malah mungkin lebih
tenang daripada kebiasaan.
Suasana itu seolah-olah menggambarkan ketenangan sanubari Misha Omar
saat figura pelantun lagu 'berhantu', Bunga-Bunga Cinta ini sah bergelar
isteri kepada Firos Ezzwan Rossly tepat pukul 9.30 pagi.
Sebelum ini, dia mungkin pernah tunduk dan menangis apabila diuji
dengan kehilangan bapa tersayang serta majlis pernikahan yang terpaksa
ditangguh beberapa kali.
Episod duka itu berterusan apabila dia juga dituduh berstatus janda kerana pernah berkahwin.
Kali ini, air mata Misha tumpah lagi. Bezanya, dia kini sudah mampu
mendongak dengan bibir yang tidak lekang dengan senyuman bahagia.
Deraian air matanya pula mengalir untuk meluah jutaan rasa gembira
dan kesyukuran kerana akhirnya, cinta mereka berdua tersimpul rapi
menerusi ikatan perkahwinan yang sah.
Ketika suami mengucup ubun-ubun, saat itu bagaikan satu pengalaman
baharu yang amat menakjubkan bagi saya," ujar Misha, ringkas namun
mendalam.
Misha, 32, atau nama sebenarnya, Samihah Omar bergelar isteri yang
sah kepada Firos, 32, seorang juruterbang Malaysia Airlines (MAS) dari
Subang Jaya dengan hanya sekali lafaz.
Majlis akad nikah itu berlangsung santai di Hotel Renaissance, Kota
Bharu dan disempurnakan oleh abang Misha yang juga walinya, Mohd. Rose
sambil disaksikan Imam Mukim Chempaka, Ahmad Khamil Mat.
Misha yang tampil anggun dengan busana serba putih rekaan Syaiful
Baharim menerima lima dulang hantaran, manakala Firos yang segak berbaju
Melayu moden turut membalas lima dulang hantaran.
Uniknya pernikahan mereka, Misha menerima sepasang gelang emas
sebagai mas kahwin daripada insan tercinta manakala tiada wang hantaran
disediakan.
Dalam majlis yang diacarakan oleh Adibah Nor itu, rakan artis iaitu
Jaclyn Victor, Fara Fauzana dan Dina Nadzir bertindak sebagai pembawa
dulang serta pengapit pengantin perempuan.
Kelibat penyanyi Amy Mastura dan Salamiah Hassan serta penggiat seni
lain juga kelihatan untuk memberi sokongan dan berkongsi kebahagiaan
kedua-dua mempelai.
Misha yang kini popular dengan single terbaharu, Angin Syurga dalam
pada itu turut menerima kejutan istimewa daripada ibu Firos, Asmah Kenin
apabila menerima seutas rantai emas sebagai hadiah perkahwinan.
Mereka diraikan dalam majlis resepsi yang berlangsung di hotel sama
pada sebelah malam manakala pihak lelaki memilih 12 Mei ini untuk
meraikan mereka di Hotel Concorde, Kuala Lumpur.

Post a Comment