Oleh Shahbudin Husin
Apabila Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim secara tiba-tiba mengumumkan beliau tidak mahu lagi dipilih
sebagai menteri besar Selangor bagi penggal ketiga dan hanya akan
menghabiskan penggalnya sehingga pilihan raya umum akan datang, ramai
yang memuji tindakannya itu.
Beliau disifatkan sebagai
pemimpin yang tidak tamak dengan jawatan walaupun sepanjang berkhidmat
sebagai menteri besar Selangor sejak 2008, pelbagai pencapaian
cemerlang seperti berjimat-cermat dan meningkatkan tabungan kewangan
negeri tetapi melaksanakan banyak program kebajikan untuk rakyat adalah
sesuatu yang amat membanggakan dan sukar dilakukan oleh pemimpin
sebelumnya.
Tetapi apabila beliau membuat pengumuman tidak mahu
meneruskan lagi khidmatnya sedangkan pertandingan bagi merebut jawatan
timbalan presiden PKR sedang berjalan, tentulah ia merupakan signal
"mengibarkan bendera putih" yang jelas dan tidak disangsikan lagi.
Berdasarkan
keputusan pertandingan bagi jawatan timbalan presiden PKR sehingga 27
April lalu yang menyaksikan Mohamed Azmin Ali mendahului jauh di depan
dengan Saifuddin Nasution di tempat kedua dan Khalid di tempat ketiga,
pengumuman tidak mahu menyambung khidmat sebagai menteri besar Selangor
bukanlah suatu khabar gembira bagi kem beliau sebenarnya.
Dengan pengumuman itu, tentulah sukar bagi ahli yang belum mengundi
untuk memberikan undi mereka kepada Khalid. Beliau akan dilihat sebagai
calon yang sudah tiada masa depan lagi.
Lebih-lebih lagi
Khalid juga memberi bayangan agar pemimpin yang lebih muda diberi
peluang sama ada dalam politik mahupun negara.
Keadaan ini juga
meletakkan Azmin semakin berpeluang cerah mempertahankan jawatan
timbalan presiden yang disandangnya sekarang. Berbanding Saifuddin,
Azmin lebih dilihat mempunyai hubungan akrab dengan Anwar yang masih
merupakan simbol dalam perjuangan PKR sejak parti itu ditubuhkan.
Dalam masa yang sama, dengan pengumuman Khalid mahu mengundurkan diri
itu, tidak syak juga peluang Azmin menjadi semakin cerah untuk
mengambil alih tempatnya itu sekiranya Pakatan Rakyat terus menguasai
Selangor nanti.
Satu-satunya halangan yang mungkin merencatkan
peluang Azmin menjadi menteri besar Selangor hanyalah sekiranya dalam
pilihanraya umum ke-14 nanti jumlah kerusi yang dimenangi oleh PAS jauh
lebih banyak daripada PKR.
Namun sekiranya PAS hanya
mempunyai kelebihan satu atau dua kerusi saja, Azmin masih lagi
berpeluang menduduki kerusi itu melalui sokongan yang diberikan oleh
DAP.
Kecuali PAS benar-benar mempunyai calon-calon yang benar
berwibawa dan berkebolehan, barulah peluang mereka untuk mengambil alih
kerusi menteri besar itu menjadi cerah dan boleh menjelmakan sokongan
daripada DAP sepertimana dalam kes di Perak dahulu.
Jika tidak, DAP jauh lebih selesa memberikan sokongan kepada PKR untuk terus menduduki kerusi menteri besar itu.
Secara umumnya, pengumuman Khalid tidak mahu menyambung khidmatnya
lagi dan hanya mahu dikenang sebagai seorang yang berkhidmat kepada
rakyat benar-benar merupakan khabar gembira bagi kem Azmin.
Khalid seolah-olah sudah mengaku kalah dan tidak lagi dilihat sebagai
pemimpin yang masih punyai potensi dalam perjuangan seterusnya.
Dalam hal ini Khalid mungkin ingin bersikap jujur terhadap diri, para
penyokong dan pengundi yang mahu memilihnya tetapi kadang-kadang terlalu
jujur juga tidak semestinya membuahkan hasil yang baik.
Begitu banyak pejuang-pejuang politik yang dapat naik lebih kerana kelicikan, tipu muslihat dan tidak berlaku jujur.
Dalam hal ini, benarlah kata sesetengah orang yang mengenali Khalid,
beliau hanyalah pentadbir yang baik tetapi bukan ahli politik yang
baik. – shahbudindotcom,
Home »
Penulis Tamu
» Khalid tidak mahu menang timbalan presiden PKR
Khalid tidak mahu menang timbalan presiden PKR
Written By Warta Utara on Monday, May 5, 2014 | 8:21 AM
Labels:
Penulis Tamu

Post a Comment