Oleh Mohamed Hanipa Maidin
Rang Undang-Undang Cukai Barangan dan Perkhidmatan (RUU GST) 2014
diluluskan oleh Dewan
Rakyat dengan 218 undi menyokong dan 81 undi menentang.
RUU GST ditentang ahli Parlimen Pakatan Rakyat dengan hujah yang
bernas namun apabila diundi melalui proses belah bahagi, Barisan
Nasional (BN), dengan hujah yang dangkal masih menang dengan 218 undi.
Bagi
pihak PAS, empat ahli Parlimen diberi peluang berhujah bermula Ahli
Parlimen Shah Alam, saya sendiri, Ahli Parlimen Marang iaitu Presiden
PAS dan Pokok Sena iaitu Datuk Mahfuz Omar.Prinsip dalam percukaian
adalah tiada percukaian tanpa perwakilan. Dengan BN hanya perolehi 47%
undi popular, maka mereka hakikatnya bukan mewakili suara popular
rakyat tentang GST.
Maka, bagaimana GST dikira suatu percukaian yang sah dan memenuhi prinsip yang saya katakan itu.
GST adalah cukai regresif. Cukai pendapatan sama ada individu atau korporat pula bersifat progresif.
Cukai progresif secara mudahnya bermaksud semakin tinggi pendapatan
individu atau korporat, semakin tinggi cukai yang mereka kena bayar.
Ini suatu yang munasabah kerana Ibnu Khaldun menyatakan di dalam
kitabnya yang masyhur "al muqaddimah", kerajaan perlu memikirkan
bagaimana pendapatan rakyat harus ditinggikan bagi mendapat cukai yang
tinggi daripada rakyat untuk mengisi perbendaharaan negara.
GST
pusing ke belakang atau regresif kerana cukai dikenakan kepada
penduduk atau rakyat yang tidak berpendapatan atau yang berpendapatan
rendah.
Logiknya, rakyat yang susah dan miskin sewajarnya
ditolong oleh kerajaan kerana mereka tiada pendapatan atau
berpendapatan rendah, tapi ini tidak berlaku dalam rejim percukaian
GST.
Dengan adanya GST, keadaan menjadi terbalik iaitu rakyat
yang susah pula disuruh menolong kerajaan dengan meminta semua rakyat
tanpa kira miskin dan kaya membayar cukai.
Memandangkan GST
adalah cukai penggunaan yang dikenakan di semua peringkat pengeluaran
barang yang mana kerajaan perolehi hasil cukai di semua rantaian
penawaran barangan (supply chain), pengguna adalah pihak yang paling
teruk kerana kena membayar cukai atas penggunaan barang dan tidak
mendapat apa apa rebat.
Sebagai contoh kita ambil kes kopi.
Bagi rantaian penawaran kopi, kerajaan akan dapat hasil cukai daripada
penanam kopi, pengilang kopi, pedagang kopi, peniaga runcit kopi dan
akhirnya pengguna atau pembeli kopi.
Meskipun penanam,
pengilang, pedagang dan peniaga runcit kopi dikenakan cukai GST namun
mereka berhak mendapat semula bayaran cukai tersebut melalui rebat.
Pengguna kopi sahaja yang kena bayar GST dan tidak mendapat faedah
rebat. Yang lebih teruk lagi jika BRIM diberi setahun sekali, GST pula
dibayar semua rakyat setiap hari. GST dibayar 24 jam selama 365 hari
setahun.
Pakar ekonomi menyatakan segmen masyarakat yang paling
teruk menerima kesan daripada GST adalah golongan rakyat yang
berpendapatan rendah dan sederhana.
Golongan kaya tidak
menerima kesan dan jika ada sekalipun ia hanya menanggung kesan yang
minima. Malahan dalam keadaan tertentu golongan kaya mendapat manfaat
dari GST.
Dalam penggulungan, Timbalan Menteri Datuk Ahmad
Maslan menyatakan tidak seperti Singapura yang tidak mengenakan
pengecualian ke atas barangan tertentu daripada dikenakan GST,
Malaysia, katanya, memberikan pengecualian GST ke atas barangan.
Saya bangun dan bertanyakan soalan berikut kepada beliau, "adakah
Timbalan Menteri sedar bahawa kerajaan Singapura menyatakan bahawa jika
GST dikecualikan ke atas barangan tertentu pihak yang mendapat manfaat
daripada pengecualian itu adalah golongan kaya kerana mereka hakikatnya
menggunakan lebih banyak dan kerap barangan yang dikecualikan GST
tersebut".
Menteri tak boleh jawab soalan saya itu.
Apa yang dikatakan oleh kerajaan Singapura itu ada meritnya. Meskipun
barangan asas seperti beras, tepung, gula atau barangan keperluan lain
dikecualikan GST, pengecualian itu terpakai kepada semua termasuk
golongan kaya. Jadi mereka yang untung.
Jika kita beli kek di
kedai kek (dibuat dengan tepung dan gula) sebagai contoh, rakyat miskin
yang nak beli kek kini dikenakan cukai dibandingkan sebelum GST
dikenakan.
Jika anak atau isteri Menteri beli kek, mereka tidak
ada masalah bayar harga kek yang dikenakan GST tapi bagaimana anak
orang susah?
Kerajaan berbangga 160 negara yang amalkan GST
tanpa mengira negara yang kuat ekonominya seperti Amerika Syarikat juga
tidak setuju dengan GST.
Ya, banyak negara negara maju melaksanakan GST namun berapakah jumlah pendapatan per kapita mereka.
Kita ambil contoh Singapura. Pada tahun 2012, menurut Fox Magazine pendapatan per kapita rakyat Singapura sebanyak US$56,000.
Bagaimana dengan Malaysia? Dalam ucapan belanjawan 2014, menurut
perdana menteri pendapatan per kapita negara kita adalah sekitar
US$9,500 sahaja. Malahan pada tahun 2020, Malaysia hanya menyasarkan
pendapatan per kapita US$15,000. Oleh itu, bagaimana kita nak tiru
Singapura?
Singapura kenakan GST kerana cukai pendapatan
individu dan korporat di sana secara relatifnya masih rendah. Jadi
kekurangan hasil cukai pendapatan ditampung melalui GST.
Kadar
cukai pendapatan di Malaysia sama ada individu atau korporat lebih
tinggi daripada Singapura. Itupun Singapura mulakan GST dengan kadar 3%
sedangkan kita terus mulakan dengan 6%.
Tetapi apa yang
penting dengan jurang pendapatan rakyat miskin dan kaya di Singapura
lebih rendah berbanding Malaysia dan pendapatan per kapita mereka jauh
lebih tinggi dari kita, sudah tentu kuasa membeli dan membayar cukai
rakyat di sana lebih kuat daripada kita.
Begitu juga negara
negara maju yang lain seperti Australia dan Kanada. GST tidak begitu
membebankan rakyat di sana kerana pendapatan per kapita mereka yang
tinggi.
Dan bagi negara maju yang melaksanakan GST, rakyat juga
mendapat manfaat dan faedah yang banyak hasil kutipan cukai tinggi di
mana jaringan keselamatan (safety net) bagi menjaga kebajikan rakyat
jauh lebih baik. Maknanya, berbaloi membayar cukai di sana meskipun
tinggi.
Yang lebih penting lagi di negara negara maju tersebut
kadar kebocoran dan ketirisan ekonomi di sana jauh lebih rendah kerana
amalan pemerintahan yang baik (good governance) dan hampir bebas
rasuah.
Di negara kita, kebocoran bilion ringgit akibat rasuah,
ketirisan, pembaziran, kronisme dan “rent-seeking” adalah fenomena
wajib di dalam laporan Ketua Audit Negara setiap tahun.
Jika poket seluar kita bocor, adakah patut kita minta orang lain bagi duit untuk diletakkan di poket yang bocor itu?
Umno bocorkan kantung wang negara tapi parti tak tahu malu ini masih
minta rakyat hulurkan duit untuk dimasukkan dalam kantung yang bocor
itu. Jawapan kita, jahit kocek yang bocor kemudian baru minta duit
daripada rakyat
GST: Masuk wang di poket bocor!
Written By Warta Utara on Monday, May 5, 2014 | 8:36 AM
Labels:
Fokus Isu

Post a Comment