Oleh Hazlan Zakaria
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak hari ini mengingatkan kakitangan awam bahawa Cukai
Barangan dan Perkhidmatan (GST) yang bakal dilaksanakan seumpama ubat pahit yang diperlukan negara bagi menyembuhkannya. Ia memang tidak enak tetapi bakal memulihkan keadaan ekonomi Malaysia.
Persoalannya, siapa sebenarnya berpenyakit sehingga rakyat dipaksa menelan ubat pahit itu? Mengapa pula rakyat yang perlu merana, sedangkan pembaziran berleluasa di kalangan pemimpin kerajaan Barisan Nasional?
Rakyat tertanya-tanya samada kita semua terjebak di dalam penyakit yang sebenarnya menjangkiti pihak lain, akibat pembaziran kroni serta proksi mereka.
Kerajaan manakah yang bertanggungjawab menyalahguna wang rakyat mencecah berbilion ringgit, bagi membiayai barangan serta kehidupan mewah yang hanya dikecapi pihak tertentu?
Jangan lupa tentang perjanjian bagi ‘bailout’ serta projek mega yang terlampau tinggi nilainya, yang kerap dimeterai melalui pintu belakang malah hasilnya terus masuk ke dalam kocek ahli perniagaan yang punyai ikatan dengan pemimpin kita. Ini semua menyebabkan kita semua kesakitan.
Ya, kita semua sedia maklum bahawa negara perlukan wang bagi pembangunan infrastruktur, tetapi siapa sebenarnya yang menyalahguna dana yang ada, jika bukan kerajaan BN sendiri?
“Analoginya mudah, apabila kita perlukan antibiotik, kita perlu mengambilnya sehingga habis. Setelah itu, kita akan sembuh dan pulih kembali,” Najib dilaporkan berkata ketika perhimpunan bulanan kakitangan Jabatan Perdana Menteri.
“Jadi, di dalam perjalanan ke arah transformasi negara, kita perlu telan ubat dan yakin bahawa hasilnya bakal memberi manfaat bagi kita semua serta menjamin kejayaan negara.”
Di dalam ucapan Bajet 2014, Najib mengumumkan bahawa GST akan dilaksanakan pada April 2015.
Anehnya, nasihat berkenaan ubat pahit yang perlu ditelan itu datangnya dari Najib sendiri, sedangkan beliaulah yang bertanggungjawab terhadap pengaliran wang secara besar-besaran bagi projek mega seperti MRT dan sebagainya.
Seharusnya, Najib yang perlu mengambil ubatan atau tindakan bagi menghentikan amalan pembaziran sepertimana yang didokumentasi setiap tahun di dalam Laporan Ketua Audit Negara.
“Kita perlu beri perhatian serius kepada laporan audit supaya sebarang kritikan tentang kelemahan, salahguna dan ketirisan boleh diperbetulkan sehingga amalan sebegini terhenti. Ini komitmen yang perlu kita laksanakan,” Najib dipetik berkata.
Benar, kerajaan serta Najib perlu mendengar nasihat itu dan bertindak terhadap apa yang telah dilaporkan ketua audit negara.
Sehingga kini, hanya tindakan sipi-sipi yang diambil malah laporan ketua audit hanya dianggap bagai mencurah air ke daun keladi.
- See more at: http://bm.theantdaily.com/Terkini/GST-mungkin-antibiotik-tetapi-siapa-pesakitnya#sthash.LOsPkkoK.dpuf
GST mungkin antibiotik, tetapi siapa pesakitnya?
Written By Warta Utara on Monday, May 5, 2014 | 8:39 AM
Labels:
Fokus Isu

Post a Comment